Selasa, 10 Mei 2011

Menjelang muktamar, isu hubungan PAS-Umno timbul lagi

Isu pemulihan hubungan dan kerjasama PAS dengan Umno muncul lagi menjelang muktamar dan pemilihan kepimpinan PAS awal Jun nanti, sekali lagi mencetuskan potensi suasana divisif dalam parti Islam itu.

Ketika isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih panas, isu hubungan PAS dengan Umno itu muncul lagi dan sudah menampakkan reaksi keras daripada PAS.

Isu kerjasama ini mungkin mencetuskan suasana panas seperti sebelum ini sekiranya dimanipulasi pihak tertentu.

Isu berpakat dengan Umno sebelum ini ditimbulkan untuk menekan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Nasharudin Mat Isa dan kem ulama walaupun selepas Abdul Hadi menyatakan gagasan kerajaan perpaduan itu digugurkan.

PAS setakat ini sebulat suara menolak ajakan Najib itu dan menegaskan terus bersama PR.

Walau bagaimanapun, penolakan PAS dikemukakan sebagai satu tindakan yang membelakangi kepentingan Melayu oleh Umno.

Debat panas dan terbuka kali ini malah turut melibatkan parti komponen Barisan Nasional, MCA, yang membuat kenyataan mendesak PAS meninggalkan dasar Islam sebelum menyertai BN.

Kenyataan MCA itu mengundang kecaman terhadap Umno yang didakwa bersekongkol dengan MCA yang anti-Islam, dakwaan balas kepada tuduhan Umno yang mendakwa PAS bekerjasama dengan DAP yang anti-Islam.

Isu kerjasama PAS dengan Umno sebelum ini menjejaskan kem ulama dan Abdul Hadi kerana didakwa mahu bekerjasama dan berpakat dengan Umno dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi walau bagaimanapun hanya mencadangkan kerjasama semua parti membentuk kerajaan pusat melalui ide yang disebut kerajaan perpaduan nasional, sebagai satu penyelesaian kepada kemelut ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Episod terbaharu isu kerjasama PAS dengan Umno tercetus ekoran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu menggesa PAS meninggalkan DAP dan bekerjasama dengan Umno dan BN.

Najib berkata PAS tidak semestinya perlu menyertai BN tetapi wajar meninggalkan pakatan pembangkang.

Isu kedudukan PAS dalam PR semakin dibincangkan termasuk di peringkat dalaman parti selepas dikatakan tidak menguntungkan PAS dan hanya memberi kelebihan kepada parti PR lain.

PAS ditekan lagi berhubung kedudukannya dalam PR di tengah-tengah kekecohan isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS mengambil pendirian mempertahankan Anwar dalam isu tersebut.

Tiada ulasan:

Wira BERSIH 2.0 Merbok

Wira BERSIH 2.0 Merbok
Sdr Mohd Zal - Ketua Pemuda Cawangan Pantai CIcar

Saksikanlah Sendiri