Selasa, 31 Mei 2011

Roboh gerai di Sungai Petani: Ada tangan-tangan ghaib Umno?

Oleh ZULKIFLI YAHAYA

Belum selesai isu perobohan gerai pulut udang di Stadium Darul Aman oleh Majlis Bandaraya Alor Setar, muncul cerita baru mengenai roboh gerai

di Sungai Petani. Kali ini 12 buah gerai yang berderetan di hadapan Kelab Cinta Sayang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Gerai tersebut bukan gerai roda tiga atau pemegang lesen penjaja mudah alih yang hanya bertenggek di situ pada waktu tertentu, tetapi gerai yang dibina seolah-olah mahu berniaga kekal di situ. Sebahagian gerai makanan itu sudah beroperasi lebih 10 tahun.

Ia memang menyalahi peraturan dan para peniaga juga sedar mereka telah melakukan kesalahan. Tetapi dalam dunia ini ‘kesalahan’ disahkan hanya apabila terdapat penguatkuasaan terhadap peraturan atau undang-undang.

Terdapat di kalangan rakyat negara ini yang tidak memakai topi keledar ketika menunggang motorsikal namun mereka tidak dianggap melakukan kesalahan sehingga polis menahan dan mengeluarkan notis saman.

Dalam suasana yang tidak ada penguatkuasaan, ramai yang tidak ambil peduli tentang kesalahan. Apatah lagi jika apa yang hendak dilakukan itu adalah perkara baik; berniaga barang yang halal untuk menyara keluarga.

Timbul persoalan mengapa penguatkuasaan tidak dibuat sewaktu tiang mula dipacak oleh peniaga untuk mendirikan gerai? Selepas mereka berniaga dengan maju, sehingga berbelas tahun baru MPSPK berfikir untuk bertindak.

Para penguatkuasa MPSPK dikatakan datang ‘ala gengstar’ beroperasi sewaktu pelanggan sedang menjamu selera di waktu pagi, sewaktu hidangan lauk pauk tersusun rapi di atas meja. Adakah ini cara bertindak yang rasional?

ADUN kawasan terbabit yang juga merupakan Exco kerajaan negeri, S. Manikumar berkejar ke tempat kejadian. Beliau cuba mempertahankan peniaga, menghalang gerai dari dirobohkan. Tapi pihak penguatkuasa tidak hiraukan Exco kerana kononnya hanya mahu mengikut arahan ‘dari atas’. Siapakah yang lebih atas dari Exco itu? Manikumar tidak berputus asa terus cuba menghalang tetapi dia ditolak ke tepi macam polis bertindak terhadap peserta demonstrasi. Sungguh biadap.

Akhirnya gerai-gerai tersebut dirobohkan. Para peniaga mula menghala persoalan kepada kerajaan negeri yang sedang giat memperkasa visi ‘Kedah Sejahtera’. Rupanya ahli-ahli MPSPK juga tidak tahu menahu mengenai operasi tersebut. Menteri Besar, Exco dan ADUN jauh sekali dari diberitahu. Tindakan penguatkuasa lebih sudu dari garpu, menggambarkan seolah-olah ada dalang di belakang mereka.

Ahli-ahli MPSPK menjelaskan bahawa mereka telah membuat satu ketetapan dalam mesyuarat kerajaan tempatan iaitu tindakan pencegahan atau perobohan hanyalah untuk geri-gerai baru yang sedang dibina.

Manakala bagi gerai-gerai yang sudah lama beroperasi, ruang niaga alternatif mesti disediakan terlebih dahulu kepada mereka sebelum bertindak. Itu cara berfikir dan bertindak orang politik. Sekarang waktu yang hampir dengan pilihanraya.

Kerajaan yang memerintah harus mengambil langkah terbaik untuk mengelak kontroversi. Meroboh dan mengusir adalah istilah yang sangat buruk di mata rakyat terhadap sesebuah kerajaan.

Kerajaan Pakatan Rakyat di mana-mana negeri pun terpaksa berhadapan dengan manipulasi media.
Kekuatan BN masih pada penguasaan media-media utama. Mereka hanya mengambil aspek yang ‘nampak zalim’ untuk dimomokkan kepada rakyat, sedangkan scenario asal terhadap tindakan tidak diceritakan. Inilah yang mahu dielakkan oleh kerajaan PR.

Malangnya ketetapan yang dibuat oleh ahli-ahli majlis tersebut dicabul oleh pihak penguatkuasa. Mereka seolah-olah dipaksa untuk mendengar satu arahan lain. Ia memberi dua andaian; pertama pegawai yang berkuasa yang mengarahkan kepada tindakan betul-betul bertindak secara professional berdasarkan peraturan.

Aspek lain, selain peraturan, bukan menjadi kriteria langsung untuk dipertimbangkan termasuklah aspek untung rugi politik.

“Kerana kami pentadbir, bukan orang politik,” mungkin hujah mereka.

Andaian kedua, ialah terdapat ‘grand design’ untuk mencipta isu-isu yang boleh boleh mencetuskan kemarahan rakyat.

Kita berharap semoga apa yang berlaku bukannya kerana andaian yang kedua tersebut kerana di Kedah, zahirnya para pegawai tiada yang menikam kerajaan dari belakang. Justeru kepimpinan kerajaan negeri perlu berbincang dan membuat keputusan terbaik dengan para pegawai yang merancang penguatkuasaan. Jangan beri ruang langsung pada musuh mengeksploit isu.





Khamis, 26 Mei 2011

MPSPK Roboh Gerai depan Kelab Cinta Sayang - Siapa Berkuasa & Dimana Budi bicara





MPSPK telah bertindak meroboh gerai di depan KELAB CINTA SAYANG pada pagi ini. Siapakah yang terlibat dalam arahan merobohkan gerai-gerai ini dan di maklumkan YB Manikumar serta MP Merbok juga berada di tempat kejadian bersama pegawai MP Jerai Sdr Shubihi untuk cuba berbincang dengan pegawai-pegawai MPSPK supaya tidak merobohkan gerai-gerai tersebut.

Namun operasi perobohan tetap dijalankan.

Rabu, 25 Mei 2011

Azizan tolak timbalan presiden, tanding AJK


KUALA LUMPUR, 25 Mei: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hanya bertanding jawatan ahli jawatankuasa pada Muktamar Tahunan PAS ke-57, bulan depan.

Setiausaha akhbarnya, Helmi Khalid memberitahu, Ustaz Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menolak bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS untuk memberi tumpuan kepada Kedah.

Ustaz Azizan antara yang dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS kali ini selain penyandang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Sehingga kini, Nasharudin, Tuan Ibrahim dan Mohamad mengesahkan bertanding jawatan tersebut sementara Salahuddin mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Husam pula mengesahkan bertanding jawatan naib presiden.

Panduan pimpinan menghadapi cabaran perjuangan Islam


“Sempena Muktamar ke-57”

Firman Allah yang bermaksud: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa (8); Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) (9). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) (10).” (Surah Asy-Syams 91:8-10)

Sesuatu yang penting dihayati dan diambil iktibar ialah mengenai pengiktirafan masyarakat Mekah kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda dilantik oleh sebagai Rasul. Syakhsiyah baginda sudah masyhur sebagai seorang ‘al-amiin’ sudah diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

Ini bererti sifat al-amiin itu sudah menghiasi syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sehingga terserlah kepercayaan dan keyakinan masyarakat, betapa baginda seorang yang benar-benar ‘boleh diharap’ sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

Justeru semua individu yang bergelar pimpinan perlulah utamakan muhasabah diri supaya boleh diterima sebagai al-amiin. Ia sesuai dengan maksud firman Allah di atas (seperti maksud ayat di atas) yang meletakkan sifat membersih diri sebagai tangga kejayaan.

Maknanya, seseorang itu perlu bersih diri dan cara membersih diri ialah dengan mengawal nafsu. Percayalah, sifat peribadi (syakhsiyah) seseorang itu tidak boleh baik dan sempurna kalau nafsu tidak boleh dikawal.

Selain itu, cara bersih diri dari pengaruh nafsu buruk ialah menggunakan ‘taqwa.’ Melalui taqwa kepada Allah sahaja yang boleh menyebabkan masyarakat percaya dan yakin kepada seseorang pemimpin. Atas sifat taqwa jugalah apa sahaja yang kita buat––sembahyang, puasa, jaga keluarga hatta mengurus kemasyarakatan––masyarakat akan rasa yakin dan boleh percaya.

Begitu juga, bila seseorang itu bertaraf pemimpin, syakhsiyahnya akan dilihat baik atau sempurna bila ia tidak merokok, lekat sembahyang berjemaah, berterusan dengan amalan sunat, tidak kedekut bersedekah, ringan kaki tulang kerana kerja kebajikan rakyat atau seumpamanya. Ia sebagaimana sifat dan amalan Nabi Muhammad SAW. Apa yang utama, sifat Nabi itu hendaklah dijadikan asas melakukan muhasabah diri.

Ambillah pengajaran daripada kisah tatkala Nabi Muhammad balik dari Gua Hira’ selepas bertemu Malaikat Jibrail. Ketika itu, isteri baginda Siti Khadijah menjadi pendorong dan penguat semangat untuk Nabi berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab setelah menerima wahyu. Kata-kata mulia Siti Khadijah berbunyi: “Sekali- kali tidak! Demi Allah, sekali- kali Allah tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya kamu benar-benar orang yang suka menyambung tali persaudaraan, menghormati tetamu, membantu orang yang sengsara, memenuhi keperluan orang yang memerlukan, dan membantu orang-orang yang ditimpa musibah.”

Dalam konteks masyarakat Malaysia yang diselubungi fahaman sekular dibawa oleh Umno, ia telah menjauhkan kehidupan rakyat dari agama. Oleh itu terlalu penting bagi setiap rakyat (kalangan Melayu, Cina dan India dan semuanya) menjaga diri masing-masing supaya tubuh badan kita boleh menjadi bahan dakwah, contoh kepada semua orang.

Demikian pengalaman PAS di Kelantan yang sudah masuk 20 tahun memimpin rakyat ke jalan kehidupan beragama. Justeru di Kelantan kini wujud senario atau suasana ke’Islam’an, sekaligus mendidik rakyat menghayati amalan mengikut syariat Islam. Wujud suasana di masjid-masjid sekitar bandar yang dimakmurkan dengan sembahyang berjemaah pada setiap waktu puncak.

Begitu pula, cukup terasa ketenangan dan keselamatan ketika berada di pusat bandar. Terasa perubahan suasana, apabila hotel-hotel yang dulunya sinonim dengan aktiviti tidak sihat, sehingga ada tok-tok lebai terasa goyah bila ke hotel. Namun kini, berkat peraturan Islam, hotel sudah jadi tempat selamat didiami.

Diikuti pula, perkembangan baik berlaku dari segi sistem kewangan Negeri berikutan majoriti bank sudah bertukar kepada sistem kewangan Islam. Tidak ketinggalan, pihak bank luar negara turut membuka cawangan di Kelantan, seperti mana yang terbaru dari sebuah bank dari Kuwait. Ia disokong lagi dengan kemajuan sistem pajak gadai Ar-Rahn yang diperkenalkan oleh Kerajaan Kelantan turut diterima oleh Bank Rakyat dan Bank Islam. Malah yang terbaru, RHB Bank turut melancarkan pajak gadai Islam (ar-Rahnu).

Tidak ketinggalan, selama 20 tahun Kelantan di bawah kepimpinan Islam telah mencipta perkembangan baik di bidang pendidikan Islam. Sehingga merakam kejayaan sistem pengajian Yayasan Islam Kelantan (YIK). Malah turut berkembang sama sistem pengajian tahfiz al-Quran dan sains di bawah Kerajaan Negeri dan swasta. Kesannya telah lahir bijak pandai (intelek) Islam menguasai bidang profesional yang hafal al-Quran.

Berkat daripadanya, wujud suasana kerukunan hidup masyarakat Kelantan dan hubungan harmoni antara kaum––Melayu, Cina, India dan Siam––hidup dengan aman dan sejahtera.

Kesemuanya meletakkan asas kukuh bahawa tanggungjawab kepimpinan ke arah memerintah secara Islam adalah wajib. Lihat sahaja perjalanan Nabi Muhammad SAW sepanjang menjadi nabi dan pemimpin negara. Ketika sistem pemerintahan telah zaman-berzaman wujud di dunia, tetapi Nabi sendiri yang bawa Islam dan tatkala Islam berkuasa, maka Nabi tidak meniru sistem pemerintahan yang sedia ada. Nabi sendiri rela bergadai nyawa, demi menegakkan pemerintahan Islam. Ketika di Mekah pun, Nabi sendiri ditawar dengan serba-serbi kekuasaan dan kemewahan. Namun kesemuannya ditolak. Malah Nabi sendiri meninggalkan Mekah (berhijrah ke Madinah) demi menegakkan pemerintahan Islam.

Di Madinah pula, Nabi mengadakan tahaluf-siyasi dengan puak-puak bukan Islam (Yahudi dan Nasrani). Nabi sendiri memimpin dan mengendalikan semua urusan politik dan pentadbiran negara. Maka kepimpinan Nabi telah berlaku selama 23 tahun, bermula dari Mekah hinggalah ke Madinah.

Biarpun selama itu, apa sahaja cara dan gaya kepimpinan Nabi dilihat ‘berlawan arus’ atas semata-mata untuk tegakkan Islam. Natijahnya, Nabi berjaya menunjukkan contoh kepimpinan terbaik (khudwah hasanah) yang mesti ditiru oleh semua pemimpin dari dahulu sampailah sekarang.

Di sebalik kebaikan kepimpinan Nabi, baginda sering mengutamakan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab atas apa yang dipimpin. Justeru Nabi bukanlah seorang yang bermewah kerana jawatan, malah pernah berhutang dengan seorang Yahudi dan sanggup mencagarkan baju rantai untuk membayar hutang. Walau pun ada sahabat sedia menyara Nabi, tetapi baginda tidak bersedia untuk hidup atas bantuan orang lain.

Pengajaran daripada syakhsiyah dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu, harapnya semua pemimpin PAS hari ini perlu meletakkan ‘peribadi Nabi’ sebagai khudwah. Maka, seorang pemimpin itu hendaklah bergantung bulat kepada apa yang Nabi tunjuk itu. Ia sesuai dengan apa yang kita baca di dalam sembahyang. Sebab itulah, setiap kali sembahyang diwajibkan menyebut dan memuji Nabi. Dan sembahyang itu berlaku sebelum awal fajar dan ketika mata hari terbenam. Kesemuanya menuntut untuk kita sentiasa menyebut-nyebut sifat Nabi. Agar sifat itu sentiasa menjadi ikutan kita. Sesungguhnya, kebaikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW jelas membawa rahmat dan kesejahteraan untuk sekalian alam. Justeru kenapakah kita tidak mahu menjadikan Nabi sebagai khudwah hasanah?

Semoga sekalian pemimpin PAS menjadikan syakhsiyah Nabi Muhammad SAW sebagai khudwah hasanah. Kepimpinan akan beroleh kejayaan dan jemaah akan terus utuh menuju matlamat perjuangan, yakni kemenangan Islam.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Al-Mursyidul Am PAS.

Selasa, 24 Mei 2011

Timb Presiden: Tuan Ibrahim sertai pertandingan

TEMERLOH, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS dalam keadaan 'berat' dan merasakan "saya sedar saya bukanlah calon terbaik."

Beliau mengumumkan perkara ini jam 11 pagi hari ini dan yakin, "calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama."

Dengan pengumuman ini, sudah tiga calon mengesahkan untuk menyertai pertandingan jawatan timbalan presiden iaitu penyandang sekarang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau:

Saya telah menerima surat rasmi dari Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 22hb Mei 2011. Saya telah mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu Jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan.

Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.

Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ianya suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkan semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan.

Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama amat terasa beratnya - dan menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya - dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama.

Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat
24 Mei 2011

Isnin, 23 Mei 2011

Muktamar: Perwakilan tentukan halatuju

Siapapun yang akan menang dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS dalam Muktamar PAS Ke-57 nanti sudah pasti ia menjadi anggota pasukan pimpinan yang akan berdepan dengan cabaran menjelang PRU Ke-13 ini.

Ini sudah banyak kali diperkatakan oleh pelbagai pihak dalam pelbagai media. Oleh itu, para perwakilan yang akan membuat pemilihan mempunyai tugas paling mencabar dan berat kerana pena mereka yang memangkah kertas undi – siapa yang mereka pilih –mempunyai kesan besar dan penting.

Para perwakilan yang memilih inilah nanti yang menentukan bentuk kepimpinan PAS, sekurang-kurangnya dua tahun lagi, di samping menghadapi pilihan raya ke-13 nanti.

Apakah para perwakilan mampu memilih pemimpin yang benar-benar mampu menghadapi semua cabaran ini nanti? Ini persoalan penting yang berligar menjelang Muktamar PAS bulan depan ini.

Pakatan Rakyat, di mana PAS menjadi anggotanya, sedang menghadapi cabaran yang sangat besar di tengah politik negara yang bergelora dan luar biasa, merongkai semua hukum agama, moral, malah undang-undang negara sendiri.

Disebabkan mereka yang berkuasa hendak mengekalkan kuasa mereka dengan apa cara sekalipun, maka mereka melakukan ‘membujur lalu melintang patah’. Kelihatannya tidak ada satupun yang tidak boleh dilakukan asalahkan dapat mengekalkan kuasa, walaupun menggadai maruah agama dan bangsa. Keadaannya sangat dahsyat sekali.

Para pemimpin PAS yang akan dipilih ini akan berdepan dengan suasana sedemikian menjelang PRU Ke-13 nanti dan inilah cabaran yang sangat besar. Bagaimanakah mereka mendepani suasana yang segawat ini ketika hukum agama, etika moral dan semua peraturan kelihatannya telah dipinggirkan.

Rakyat sedang berkeluh kesah, lemas, malu, kecewa dan pelbagai perasaan lagi berdepan dengan suasana paling buruk dalam sejarah negara ini. Mereka seperti sedang berada dalam sebuah terowong gelap gelita yang tidak kelihatan sebarang cahaya di depan mereka.

Oleh itu PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam kontemporer mestilah benar-benar mengenal pasti masalah ini. Di dalam jamaah PAS ada golongan ulama yang berwibawa, golongan profesional yang telah menunjukkan prestasi cemerlamg mereka selama ini, golongan veteran dan aktivis yang sangat istiqamah.

Oleh itu, rakyat mempunyai harapan tinggi untuk melihat mereka ini berusaha mengembalikan semula maruah negara yang sangat terjejas ini.

Para perwakilan mestilah membuat pilihan setepat-tepatnya tokoh mana yang mampu mendepani cabaran ini. Antara tokoh yang dipilih itu mestilah mereka yang mempunyai ciri-ciri:

+ Berilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu.

+ Mampu membaca dan menguasai politik kontemporari dengan tepat baik politik dalam negeri mahupun luar negara.

+ Sentiasa berfikiran terkini.

+ Mampu berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat – Islam dan bukan Islam.

+ Bekerja secara berstrategi

+ Berfikiran terbuka.

+ Mengenal pasti masalah yang urgent.

+ Mampu mengendalikan isu-isu yang berbangkit serta merta.

+ Mampu membuat perubahan dan sanggup menerima perubahan.

+ Berfikiran jauh ke depan, malah mampu menjadi prime mover, penggerak utama masyarakat.

Ini antara ciri-ciri yang perlu ada kepada tokoh yang hendak dipilih oleh perwakilan dalam Muktamar PAS Ke-57 nanti. Oleh itu, para perwakilanlah yang akan menentukan perubahan dalam PAS.

Memang benar, tidak semua para tokoh yang mampu memiliki ciri- ciri seperti yang disebutkan, namun sudah pasti ia diukur berasaskan berapa banyak ciri-ciri tersebut yang mereka miliki. Semakin banyak mereka memiliki ciri-ciri itu, semakin terserlahlah kecemerlangan mereka.

Pengalaman, betapapun banyaknya, ia hanyalah sebuah routine yang dialami berulang-ulang dalam kehidupan seseorang. Namun ia bukanlah segala-galanya. Ia hanya salah satu elemen yang memberi nilai dalam kehidupan peribadi seseorang.

Namun jika seseorang tokoh itu mempunyai pengalaman yang banyak, ditambah pula memiliki ciri-ciri kepimpinan yang disebutkan tadi, tentulah ia mempunyai kelebihan dan sangat diperlukan oleh PAS. Tokoh seperti inilah yang wajar dipilih oleh para perwakilan nanti.

Muktamar PAS sebenarya bukanlah hanya sebuah pesta atau majlis untuk bertemu dengan kenalan atau tokoh lama, bukan untuk melepas geram dalam perbahasan, bukan juga untuk mempertahankan golongan, tetapi muktamar ialah tempat bermuhasabah, menilai kembali prestasi parti dan kepimpinan yang diamanahkan selama ini sama ada mereka telah menjalankan tugas mereka atau sebaliknya.

Sementara ittu, para wartawan yang puluhan jumlahnya – dari dalam dan luar negara – serta para pemerhati akan mengikuti Muktanar ini sepenuhnya. Gerak geri, ucapan, perbahasan dan sebagainya oleh pemimpin dan perwakilan akan menjadi bahan sorotan mereka. Justru berhati-hatilah dalam menyampaikan ucapan dan perbahasan oleh pemimpin dan perwakilan.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, sesetengah media yang dimiliki oleh parti yang memusuhi PAS dan Pakatan Rakyat sentiasa mencari kesalahan dan kelemahan PAS dalam muktamar tersebut untuk didedahkan. Oleh itu berusahalah menutup segara ruang kelemahan dan kekurangan.

Muktamar PAS Ke-57 ini mestilah menghantar mesej cemerlang, sebuah muktamar yang teratur, berdisiplin, dikawal oleh akhlak Islam dan melahirkan perbahasan bermutu.

Oleh itu tidak syak lagi, pemimpin yang di atas pentas dan para perwakilan sedang menjadi perhatian pelbagai pihak – dalam dan luar negara – untuk melihat watak dan wajah PAS di muktamar kali yang ke-57 itu.

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com

Ahad, 22 Mei 2011

Tanah runtuh: Presiden PAS rakam takziah


KUALA LUMPUR, 21 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

“Bersabarlah dengan ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis beliau di laman twitter malam ini.

Kejadian itu juga turut mendapat perhatian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selain mengucapkan takziah kepada kelurga mangsa yang terkorban, beliau juga mengajak seluruh rakyat Malaysia berdoa agar mangsa diberi ganjaran terbaik oleh Allah SWT.

"Takziah saya rakamkan kepada mangsa nahas tanah runtuh di Hulu Langat petang tadi.

"Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang terbaik untuk yang terkorban dan keluarga yang kehilangan ahlinya," katanya.


Isnin, 16 Mei 2011

PAS bersama PR, Umno rugi Melayu untung



Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga. Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara. Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan umno. Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada umno. Selama ini pemimpin umno, mengangap Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila Pas bersama PR ialah Umno.

Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi koperat, melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah, wacana ilmu. Selama ini orang Melayu dijauhi dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama. Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulamak yang umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap. Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang melayu senang, pemimpin umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam. Keceluparan mulut Dr Chua Soi Lek adalah bukti gagalnya umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno. Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Malahan negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu. Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.

Ustaz Idris Ahmad

Khamis, 12 Mei 2011

Pemimpin PAS Perlu Menguasai ICT

Dikatakan, TG Hj Hadi mula belajar IT semenjak tahun 1984. Komputer pertama beliau ialah IBM. Selepas itu rakan-rakan beliau menghadiahkannya Macintosh versi Arab. Laptop pertama yang digunakan ialah pada tahun 1986.

Khabarnya TG juga jarang lekang dengan komputer. Beliau juga pengguna Maktabah Syamilah, sebuah perisian yang menyediakan ribuan kitab untuk rujukan melalui komputer. Program ini boleh diinstall terus ke dalam laptop, boleh dirujuk pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

Beliau turut menasihatkan ahli PAS supaya membudayakan ICT khususnya para ulama dan pemimpin PAS. Jika mereka lambat, tentu akan ketinggalan.

TG Hj Hadi adalah orang PAS paling sibuk, tetapi beliau punya masa untuk menulis dan membaca termasuk membuka beberapa laman web kesukaannya seperti al-Jazeerah dan sebagainya.

Mengapa saya timbulkan perkara ini?

Peperangan zaman dahulu menggunakan kuda dan panah. Seseorang takkan terpilih sebagai tentera sehingga dia pandai menunggang kuda dan memanah. Jika dia tidak pandai dia perlu berlatih sehingga pandai.

Peperangan zaman ini adalah peperangan maklumat. Semua itu berada di layar komputer. Jika seseorang itu tidak pandai komputer, bagaimana dia ingin menyertai peperangan zaman ini. Sekarang, orang meletupkan bom pun menggunakan komputer.

Belajar komputer bukan sukar, anak-anak Pasti pun sudah boleh menguasainya. Jika Najib ada laman facebook, twitter dan blog, bolehkah pemimpin PAS, termasuk pemimpin kanan, ada yang masih ‘belum’ tahu untuk membuka kotak SMS?

Ada pemimpin yang beralasan begini, “Ini bukan dunia saya! Cukuplah orang-orang muda yang menguasainya, saya sudah tua!” Atau ada pula yang berkata, “Tak sempatlah nak belajar…!”

Kepada pemimpin yang beralasan begitu, kita tanyakan soalan ini, “Adakah TG Hj Hadi masih muda? Mengapa TG Hj Hadi masih sempat belajar?”

Tidak perlu semua pemimpin PAS menjadi seperti Ust Abdul Ghani Shamsuddin, tetapi memadailah dengan ada email dan tahu membuka laman-laman web utama untuk mendapat maklumat segera. Kalau ada FB, twit dan blog, tentu itu lebih bagus.

Pemimpin PAS memang pandai berceramah dan berkuliah. Cuma, pendengar ceramah dan kuliah adalah orang yang sama dan kuat PAS pula. Bahkan, semenjak akhir-akhir ini, ceramah PAS semakin kurang, kalau ada ceramah pun pendengarnya tidak seramai dahulu.

Mengapa? Tentu kerana maklumat di layar komputer lebih pantas daripada maklumat penceramah. Kadang-kadang analisis sesuatu isu di laman sesawang lebih menarik, pedas dan terkini daripada analisis yang dibuat oleh penceramah.

Justeru, apa perlunya dengar ceramah.

Situasi sebegitu menjadi hujah kuat supaya pemimpin PAS menguasai ICT. Bukan bermakna kalau pemimpin PAS tidak tahu ICT tidak boleh menjadi pemimpin. Boleh, tiada masalah.

Cuma, dia tidak boleh memimpin PAS pada zaman ini. Dia boleh menjadi pemimpin PAS tahun 70 an. Kalau dia mahu menjadi pemimpin zaman ini, dia wajib menguasai ilmu ICT.

Ini adalah ‘Wajibul Waqti’ – kewajipan semasa.

Rabu, 11 Mei 2011

Isu cukai tanah UUM: 11 fakta yang perlu diketahui

Satu isu yang cuba dimomokkan media arus perdana dan pemimpin BN ialah betapa kerajaan negeri didakwa seolah-olah tidak prihatin soal kebajikan dan pendidikan, yang dimainkan melalui isu cukai tanah Universiti Utara Malaysia.
Kerana menolak rayuan untuk rebet sehingga RM100,000, kerajaan negeri dilihat menekan UUM dengan jumlah cukai tanah yang mencecah RM1.7 juta dan terus dilabel sebagai tidak bertanggungjawab sedangkan fakta dan realiti sebenarnya memperlihatkan sebaliknya.

Isu ini, digembar-gemburkan kerana sikap BN yang tidak pernah senang dengan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kedah yang dipimpin oleh Ustaz Azizan dan merupakan proses biasa dalam usaha untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri yang sudah melangkau tiga tahun lebih pentadbirannya.
Tanpa ulasan penjang, rakyat boleh menilai sendiri hujah karut yang menuduh kerajaan negeri dengan aneka tohmahan yang tidak berasas dengan berpandukan fakta berikut:

1.UUM telah menikmati rebet selama dua tahun (2006-2008) berjumlah RM100,000 berbanding RM1.74 juta nilai cukai tanah sebenar.

2. UUM telah membayar kadar penuh bagi tahun 2009 dan 2010 tetapi pada tahun ini meminta rebet untuk tempoh lima tahun lagi.

3. Cukai tanah UUM adalah yang termurah bagi IPTA di Utara Semenanjung iaitu 20 sen bagi satu meter persegi,menurut sumber Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

4. UiTM Merbok, Sungai Petani dikenakan cukai RM0.55 untuk satu meter persegi, Universiti Saind Malaysia Pulau Pinang dikenakan cukai RM2.58 bagi setiap meter persegi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPS) RM0.50 satu meter persegi, IPTA di negeri Selangor RM0.39 untuk satu meter persegi.

5. Kerajaan Negeri telah menurunkan cukai tanah antara 30 sehingga 70 peratus ketika mula-mula mengambil alih tampuk pemerintahan sejak 2008 lalu dan telah 'rugi' sekitar RM50 juta setahun. Kerajaan Negeri tidak pernah menaikkan cukai tanah sebaliknya, isu cukai UUM ialah 'kembali' kepada kadar asal setelah diberi rebet selama dua tahun.

6.Tahun lalu UUM mengumumkan keuntungan bagi syarikat-syarikat di bawah IPTA itu adalah sebanyak RM80 juta dan hasil itu, boleh diguna pakai untuk mebayar cukai tanah sejumlah RM1.7 juta.

7. Jika diberi rebet selama 5 tahun lagi, kerajaan negeri kehilangan hasil sebanyak RM8 juta.

8. Kerajaan Persekutuan membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri setiap tahun berjumlah RM31 juta yang mana menempatkan bangunan agensi kerajaan seperti bangunan bomba, polis termasuk juga bangunan IPTA yang dibangunkan atas tanah kerajaan negeri. Ini bukan sahaja melibatkan negeri kedah tetapi seluruh negara.

Selain itu, kerajaan negeri telah membuktikan keprihatinannya berhubung soal pendidikan dan ini dapat dilihat daripada pendekatan yang telah dilakukan namun tidak dilaporkan sebaiknya oleh media.

9. Kerajaan Kedah telah menanggung perbelanjaan menghantar pulang pelajarnya ke Mesir di samping membekalkan wang saku RM500 seorang kepada mereka.Sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut melibatkan hampir 800 pelajar.

10. Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan wang saguhati kepada para pelajar anak negeri ini yang dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah dan Diploma.Sejumlah RM751,000 akan diberikan kepada seramai 2,298 pelajar Institusi Pengajian Tinggi, iaitu sebanyak RM400 untuk Ijazah dan RM200 untuk Diploma.

11. Kampus Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil telah dibina dengan kos RM330 juta bagi menempatkan 7,000 penuntut yang mengikuti 42 jurusan yang ditawarkan.

12. Kerajaan Negeri telah membantu menyelesaikan hutang tertunggak bil utili 21 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina berjumlah RM200,000 yang kini tidak dibantu Kementerian Pendidikan.

13. Kerajaan Negeri telah memberi bantuan berjumlah RM2.2 juta bermula pada tahun 2009 hingga 2011 kepada Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat (HESA) yang menggabungkan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan pondok yang tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

14.Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan sejumlah RM180,000 setiap tahun kepada sekolah kebangsaan Cina persendirian di negeri ini.

Justeru, rakyat boleh menilai setahap mana usaha dan kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Ustaz Azizan dalam meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini khususnya demi memastikan kualiti hidup rakyat serta anak-anak Kedah berada dalam keadaan terbaik dan isu cukai tanah UUM, bukanlah sesuatu yang boleh dipolemikkan untuk menutup kejayaan kerajaan negeri kedah ini.
-Azmin Amin

Selasa, 10 Mei 2011

Menjelang muktamar, isu hubungan PAS-Umno timbul lagi

Isu pemulihan hubungan dan kerjasama PAS dengan Umno muncul lagi menjelang muktamar dan pemilihan kepimpinan PAS awal Jun nanti, sekali lagi mencetuskan potensi suasana divisif dalam parti Islam itu.

Ketika isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih panas, isu hubungan PAS dengan Umno itu muncul lagi dan sudah menampakkan reaksi keras daripada PAS.

Isu kerjasama ini mungkin mencetuskan suasana panas seperti sebelum ini sekiranya dimanipulasi pihak tertentu.

Isu berpakat dengan Umno sebelum ini ditimbulkan untuk menekan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Nasharudin Mat Isa dan kem ulama walaupun selepas Abdul Hadi menyatakan gagasan kerajaan perpaduan itu digugurkan.

PAS setakat ini sebulat suara menolak ajakan Najib itu dan menegaskan terus bersama PR.

Walau bagaimanapun, penolakan PAS dikemukakan sebagai satu tindakan yang membelakangi kepentingan Melayu oleh Umno.

Debat panas dan terbuka kali ini malah turut melibatkan parti komponen Barisan Nasional, MCA, yang membuat kenyataan mendesak PAS meninggalkan dasar Islam sebelum menyertai BN.

Kenyataan MCA itu mengundang kecaman terhadap Umno yang didakwa bersekongkol dengan MCA yang anti-Islam, dakwaan balas kepada tuduhan Umno yang mendakwa PAS bekerjasama dengan DAP yang anti-Islam.

Isu kerjasama PAS dengan Umno sebelum ini menjejaskan kem ulama dan Abdul Hadi kerana didakwa mahu bekerjasama dan berpakat dengan Umno dan meninggalkan Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi walau bagaimanapun hanya mencadangkan kerjasama semua parti membentuk kerajaan pusat melalui ide yang disebut kerajaan perpaduan nasional, sebagai satu penyelesaian kepada kemelut ekoran Pilihan Raya Umum ke-12.

Episod terbaharu isu kerjasama PAS dengan Umno tercetus ekoran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak di Kuala Terengganu pada 1 Mei lalu menggesa PAS meninggalkan DAP dan bekerjasama dengan Umno dan BN.

Najib berkata PAS tidak semestinya perlu menyertai BN tetapi wajar meninggalkan pakatan pembangkang.

Isu kedudukan PAS dalam PR semakin dibincangkan termasuk di peringkat dalaman parti selepas dikatakan tidak menguntungkan PAS dan hanya memberi kelebihan kepada parti PR lain.

PAS ditekan lagi berhubung kedudukannya dalam PR di tengah-tengah kekecohan isu video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS mengambil pendirian mempertahankan Anwar dalam isu tersebut.

Isnin, 9 Mei 2011

Tim. Presiden Pas : Mohamad Sabu Dahului Senarai Pencalonan

KUALA LUMPUR, 9 Mei — Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu( gambar ) sedang mendahului senarai pencalonan bagi jawatan timbalan presiden mengatasi jumlah yang diterima penyandangnya Nasharudin Mat Isa, setakat hujung minggu lalu.
The Malaysian Insider difahamkan Mohamad yang turut dikenali sebagai “Mat Sabu” sudah memperoleh 70 pencalonan manakala Nasharudin hampir 40 pencalonan daripada lebih 130 kawasan sudah bermesyuarat.
PAS mempunyai 179 kawasan di seluruh negara.
Setakat hujung minggu lalu, hampir 75 peratus kawasan atau bahagian sudah pun mengadakan mesyuarat dan membuat pencalonan masing-masing. Ada kawasan yang tidak mencalonkan sesiapa pun.
Tarikh akhir bagi mengemukakan pencalonan ialah 15 Mei ini.
Pemerhati-pemerhati politik PAS juga berpandangan bahawa jumlah pencalonan tidak semestinya akan mencerminkan arah aliran sokongan dan undi pada hari pemilihan kelak.
“Jumlah pencalonan diterima Mat Sabu (gambar) agak menarik tetapi seperti tahun-tahun lalu dan di parti-parti lain, pencalonan tidak semestinya boleh diterjemahkan dalam bentuk undi dan sokongan muktamad... atau kemenangan seseorang calon,” kata seorang penganalis ketika dihubungi.
Bagaimanapun penganalisis itu tidak menafikan pencalonan diterima oleh Mohamad, bekas naib presiden dan bekas ahli Parlimen, menggambarkan perkembangan semasa dalam parti Islam itu.
Mohamad, yang minggu lalu mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, enggan mengulas perkembangan semasa ini.
Pada pemilihan 2009, Mohamad hanya menerima sekitar 30 pencalonan.
“Akhirnya, para perwakilan akan meletakkan pertimbangan antara latar belakang ulama dan profesional dalam menentukan sokongan mereka,” kata sumber itu yang tidak menafikan populariti Mohamad sebagai penceramah paling popular di kalangan pemimpin kanan PAS buat masa sekarang.
Rata-rata, Mohamad memperoleh pencalonan dari semua negeri - Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka Sabah, Kelantan, Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun setakat ini Mohamad masih belum menerima sebarang pencalonan daripada Terengganu.
Dari segi pecahan kasar, Mohamad menerima pencalonan paling banyak dari Johor dengan 15 pencalonan, diikuti Perak (13), Kedah (lapan), Kelantan (enam), Pulau Pinang dan Sabah (lima), Selangor dan Negeri Sembilan (empat), Pahang (tiga) manakala Melaka, Perlis dan Wilayah Persekutuan masing-masing menyumbang dua pencalonan dan satu dari Sarawak
Tambah sumber itu, keputusan itu diperoleh dari maklumat yang diterima dari kawasan-kawasan yang telah selesai mengadakan mesyuarat bagi menamakan bakal calon yang akan ditentukan nasib pada pemilihan bulan depan.
Selain Mohamad dan Nasharudin, empat lagi pemimpin utama PAS turut dicalonkan bagi jawatan itu.
Ketiga-tiga pemimpin itu adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, Menteri Besar Kedah dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (lima pencalonan), seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (empat pencalonan) dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan satu pencalonan.

Setakat ini, hanya Mohamad dan Nasharudin sudah mengesahkan untuk bertanding bagi jawatan tersebut.
Dalam laporan Harakah awal minggu lalu, akhbar parti PAS edisi terbaru, Nasharudin mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya buat penggal ketiga.
Nasharudin berkata, keputusan itu dibuat setelah mendapat pencalonan menggalakkan daripada PAS kawasan setakat ini.
“Insya-Allah saya akan pertahankan kerusi timbalan presiden kerana PAS kawasan mencalonkan saya untuk kerusi berkenaan.
“Tambahan pula mereka telah mencalonkan saya, lagipun kita mengamalkan demokrasi dalam parti, malah perlembagaan parti menyebut seseorang itu layak untuk dicalonkan dan mencalonkan seseorang itu bertanding,” katanya.
Pada pemilihan 2009, kerusi timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohamad, Nasharudin dan Datuk Husam Musa yang mana keputusannya memihak kepada Nasharudin yang menghimpunkan 480 undi.
Husam memperoleh 281 undi sementara Mohamad hanya mendapat 261 undi.
Husam, kini ahli jawatankuasa PAS pusat telah mengumumkan tidak akan bertanding jawatan itu kali ini.

Wira BERSIH 2.0 Merbok

Wira BERSIH 2.0 Merbok
Sdr Mohd Zal - Ketua Pemuda Cawangan Pantai CIcar

Saksikanlah Sendiri