Khamis, 28 April 2011

Tuntutan Cuepacs bukti pendedahan PAS benar

KUALA LUMPUR, 27 April:Tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji guru tahun ini, ekoran bebanan hidup akibat kenaikan harga barangan, membuktikan segala pendedahan yang dibuat oleh PAS berhubung perkara itu selama ini adalah benar.

Walaupun kerajaan BN menafikan pendedahan PAS bahawa kenaikan harga petrol, diesel, gas dan barangan utama lain membebankan orang ramai termasuk penjawat awam, tuntutan Cuepacs yang mewakili sektor awam ternyata dengan sendirinya telah mengakui apa yang dikatakan oleh PAS selama ini.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) menegaskan, setiap pihak termasuk kerajaan BN tidak boleh menafikan kenaikan harga barangan sememangnya membabankan hidup rakyat, malahan menyebabkan rakyat mengalami himpitan hidup yang amat teruk, sehingga Cuepacs sendiri terpaksa memohon kerajaan melakukan penyelarasan gaji guru tahun ini.

Menurut beliau, PAS amat bersimpati dengan bebanan hidup yang dihadapi oleh orang ramai termasuk para penjawat awam ekoran kenaikan harga barangan di negara ini dan ia perlu diberikan tindakan yang sewajarnya oleh kerajaan BN.

Katanya, disebabkan realiti itulah, PAS dan Pakatan Rakyat telah pun menyusun perkara itu dengan kemas dengan menjanjikan pemberian elaun khas sebanyak RM500 sebulan kepada guru-guru jika diberikan amanah oleh orang ramai memerintah negara ini dalam PRU Ke-13 ini, seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Itu dah ditegaskan oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam Janji 100 Hari Pertama Pakatan Rakyat, namun ia ditertawakan oleh kerajaan BN dengan mengatakan kerajaan akan bankrap jika dilaksanakan perkara itu.

"Pada hal hujah kerajaan BN itu ternyata meleset kerana janji itu sendiri dibuat oleh Pakatan Rakyat setelah mengambil kira segala aspek termasuk kemampuan kerajaan dari segi kewangan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Bernama hari ini melaporkan, Cuepacs memohon kerajaan melakukan pelarasan gaji tahun ini, berikutan kenaikan harga barangan yang semakin membebankan penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan harga barang itu menyebabkan perbelanjaan penjawat awam bertambah lebih RM500 setiap bulan sedangkan pendapatan bulanan tidak berubah.

Katanya, penyelarasan yang boleh dibuat dengan mengambil kira purata perbelanjaan tambahan penjawat awam itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka.

Selain itu, beliau berkata, Cuepacs turut mencadangkan agar bantuan sara hidup (COLA) semua penjawat awam diselaraskan kepada RM300 sebulan.

"Ini kerana kos sara hidup di luar bandar juga semakin meningkat seperti di bandar," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Kesatuan Pembantu Tadbir Pelajaran (Keptan) Perlis di Kangar.

Cuepacs juga, katanya, mencadangkan elaun tetap perumahan untuk penjawat awam yang bergred 40 dan ke bawah dinaikkan kepada RM350 sebulan berbanding RM180 sekarang.

"Mana ada rumah yang boleh disewa RM180 sebulan di kawasan bandar malah di luar bandar juga sewa rumah telah meningkat,” katanya.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai berkata, PAS memang bersetuju dengan tuntutan itu, malah ia bukan sahaja perlu mengambil kira penyelarasan gaji guru, tetapi juga penjawat-penjawat awam lain.

"Malah dalam hal ini, PAS dan Pakatan Rakyat sendiri berharap agar sektor awam sendiri turut menyokong segala perkara yang dijanjikan seperti yang digariskan dalam Buku Jingga kerana itu semua telah mengambil kira segala keperitan hidup rakyat di semua peringkat," katanya.

Selain itu, katanya, sektor awam dan orang ramai di semua peringkat juga perlu menyokong PAS dan Pakatan Rakyat kerana turut berhasrat untuk melakukan pelbagai kebaikan lain lagi jika diberikan mandat memerintah negara, termasuk untuk menangani masalah tol seperti yang terdapat dalam Buku Jingga.

"Kenaikan tol juga telah kita kenalpasti sebagai punca bebanan hidup rakyat. Jadi jika masalah tol dapat ditangani dengan baik, ia pasti akan turut mengurangkan bebanan hidup kakitangan awam dan semua pihak," tegas beliau.

Oleh Aziz Muda

Rabu, 27 April 2011

Jangan Pergi Umrah Atau Haji, Bantu Ekonomi Negara - Yusuf Qardawi


Ulama tersohor Mesir mengeluarkan fatwa melarang rakyatnya menunaikan umrah atau haji kali kedua, sebaliknya dermakan saja wang tersebut kepada negara bagi membangunkan ekonomi Mesir yang memerlukan dana sebanyak $2b.

Memang fatwa tersebut telah lama diperjuangkan oleh ulama tersohor tersebut sejak dulu lagi dalam beberapa kitab tulisannya. Umat Islam perlu tahu mengutamakan yang lebih utama untuk kepentingan masyarakat.


Di negara kita juga ramai mereka yang berada asyik berulang alik ke Mekah bagi menunaikan umrah kadangkala sampai setahun lebih dari 2 kali, dengan niat untuk mendapat pahala sedangkan jika wang tersebut disalurkan pada jalan Allah yang lain adalah lebih besar ganjarannya.

Banyak organisasi dakwah memerlukan wang untuk kerja-kerja dakwah mereka. Masih ramai lagi mereka yang kesempitan dari segi ekonomi. Umat Islam masih memerlukan suntikan dana bagi memajukan ekonomi mereka. Malangnya ramai yang masih tak faham mana yang lebih utama mana yang kurang utama.

Selasa, 26 April 2011

Haram baca Utusan -Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Umat Islam di negara ini disaran tidak membeli dan membaca Akhbar Utusan Malaysia kerana media tersebut boleh dikategori sebagai “haram” dari sudut Islam, tegas ulama terkemuka tanahair, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz.
Menurutnya, mana-mana media yang menghalalkan amalan fitnah, cubaan mengaibkan orang lain, menggalakkan berlakunya perpecahan umat Islam dan perpaduan kaum adalah haram untuk dibeli dan dibaca.

“Islam adalah agama penyatuan, agama perpaduan, agama yang saling hormat menghormati dan agama yang memberi rahmat kepada sekelian alam.

“Islam menegah amalan menyebarkan berita yang tidak baik seperti mengaibkan orang lain. Hukum Syarak menegah segala amalan yang dibawa oleh mulut atau pun media seperti ini,” jelas beliau.

Kenyataan Haron Din itu disiar dalam akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan yang boleh diperolehi di pasaran mulai hari ini.

Menurut Dr Haron, Al-Quran juga menyatakan “Maka sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan berita-berita yang keji (menjatuhkan maruah seseorang), maka bagi mereka itu azab siksa di dunia dan di akhirat.

Menurutnya lagi, berdasarkan hukum Fekah yang di sebut dalam kitab Fekah, Manhaji menyatakan, haram ke atas orang Islam menyebarkan berita keji ke atas orang Islam, tidak kira sama ada peritiwa itu benar atau sebaliknya.

“Kalau berita itu palsu ia adalah suatu fitnah jahat yang mengundang bala Allah yang segera. Kalaulah ia benar maka ia membuka ruang fitnah yang mengundang pelbagai keburukan, sedangkan sepatutnya ia menutup perkara tersebut.” jelas beliau.

Isnin, 25 April 2011

Parti Bukan Sendirian Berhad, Urus Secara Jamaah

Oleh: Ismail Hashim (HarakahDaily)

SHAH ALAM, 24 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.

Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.

Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.

Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.

Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.

"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.

"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.

Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.

"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, jika musuh dapat merampas semula Selangor, mereka pasti akan melakukan sekatan lebih teruk daripada sebelum ini.

Menurutnya, kemenangan PAS di banyak kawasan termasuk Shah Alam dalam PRU 12 pada Mac 2008 adalah hasil pendirian dan sokongan banyak pihak termasuk bukan Islam dan Melayu.

Kerana itu, jelasnya, gerak kerja selepas ini mestilah menjurus ke arah mendekatkan mereka termasuk semua anggota masyarakat lain bagi memahamkan mereka perjuangan dan matlanat PAS dalam memberi dan memelihara hak dan tuntutan semua pihak termasuk bukan Islam.

Ihsan HarakahDaily

Selasa, 19 April 2011

Terimalah Padahnya apabila Pakatan Rakyat mula menjauhkan media baru..!!

Pakatan gagal manfaatkan Youtube, Facebook; terus berangan tentang media baru?

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

Isnin, 18 April 2011

Keputusan PRN Sarawak,Ulasan Tok Guru Nik Aziz


KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akur pembangkang telah gagal menawan Sarawak pada pilihan raya negeri ke-10, Sabtu.

Walaupun gagal menumbangkan Barisan Nasional, beliau gembira dengan peratusan undi yang meningkat terhadap pakatan pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata ia membuktikan rakyat Sarawak semakin menerima kehadiran pembangkang di negeri itu terutama undi yang diterima DAP.

"Penduduk bandar jelas menolak Barisan Nasional (BN) dan memihak kepada DAP tetapi bagi PAS kita gembira sokongan semakin meningkat walaupun tewas kesemua kerusi," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, Ahad.

Pada pilihan raya negeri itu semalam, BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan dengan DAP memenangi 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga manakala satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata undi kaum Cina yang meningkat terhadap DAP itu berkemungkinan kerana mereka telah terpengaruh bahawa pembangkang akan membentuk kerajaan baru di negeri itu.

"Mungkin mereka telah tersilap percaturan kerana percaya dakyah DAP dan apa pun kemenangan BN di Sarawak membuktikan mereka tetap mahukan kemajuan dan perpaduan yang dibawa BN," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Ahad, 17 April 2011

Analisis segera: 5 faktor kekalahan PAS di Sarawak

Persoalan utama yang ditimbulkan berhubung peluang PAS dalam pilihan raya negeri Sarawak sebelum ini adalah berkaitan dengan pemahaman parti itu ke atas kehendak masyarakat Melayu di negeri tersebut.

Namun, beberapa kelemahan lain dapat diperhatikan dalam kempennya sehingga PAS tewas di kesemua lima kerusi yang dipertandingkannya hari ini.

Kelemahan jentera

Jentera kempen yang rata-rata diketuai daripada PAS di negeri-negeri semenanjung gagal memahami pengundi setempat. Di kawasan luar bandar, sambutan baik daripada pengundi yang ditemui disalahtanggap sebagai menyokong parti Islam itu. Sedangkan masyarakat bersikap sama kepada setiap parti.

Kempen lambat

Kempen lambat dimulakan, termasuk pemilihan calon yang dijalankan di saat-saat akhir. Difahamkan keputusan memilih calon harapan utamanya Abang Ahmad Kerdee Ahmad Abang Masagus sendiri dibuat pada malam terakhir sebelum penamaan calon pada keesokan harinya.

Sementara itu walaupun parti Islam itu telah bertapak sejak hampir sepuluh tahun, ia asalnya lebih mirip kepada gerakan dakwah dan bukannya politik.

Terlalu yakin

Pada hari penamaan calon, melihat sambutan pada Ahmad Kerdee yang seolah-olah bintang filem, PAS dilihat agak memandang rendah pada kemampuan BN.

Mungkin juga disebabkan laporan akhbar dan cakap-cakap berlakunya pergolakan dalaman BN antara penyokong penyandang ADUN Bolhassan menyebabkan PAS mengambil mudah lawannya.

BN terlalu kuat buat PAS

Tiga kawasan baru yang ditandingi PAS kali ini merupakan kubu kuat BN yang memenangi kawasan itu dengan majoriti antara 2,000 hingga lebih 4,000 undi.

Angka itu dilihat amat sukar dikejar, tambahan lagi melawan BN yang memerintah dengan majoriti besar dalam DUN sejak tahun 1963 lagi apabila negeri itu merdeka bersama Malaysia.

Cubaan PAS di Beting Maro dan Sadong Jaya sebelum ini juga tidak berjaya dan hanya meraih tidak sampai 900 undi.

Kesetiaan Melayu

Sejak awal lagi, masyarakat Melayu di Sarawak dilihat amat setia pada BN dan kepimpinan Tan Sri Taib Mahmud.

Dalam masa yang sama, calon ketua menteri Pakatan Baru Bian - seorang Dayak - dilihat menakutkan masyarakat Melayu.

Wira BERSIH 2.0 Merbok

Wira BERSIH 2.0 Merbok
Sdr Mohd Zal - Ketua Pemuda Cawangan Pantai CIcar

Saksikanlah Sendiri