Isnin, 27 Jun 2011

SPR, BN Jangan Sombong Terima Teguran BERSIH 2.0 - Dr Haron Din

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) supaya tidak sombong dalam menerima sebarang teguran serta pandangan rakyat berhubung sistem pilihan raya yang dijalankan di negara ini.

Malah katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) dan Umno-BN perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan realiti sebenar persepsi rakyat terhadap mereka.

Paling mudah, Dr Haron mengulas mengenai Undi Pos yang sehingga kini dipertikaikan ketelusannya oleh banyak pihak.

"Undang-undang pilihan raya pun tak adil. Kalau kita tanya mengapa ada Undi Pos, mereka kata sebab ada yang tak boleh mengundi, tak apalah. Bila tanya mengapa tak boleh buka dan bilang terus, mereka kata tak boleh sebab kena simpan di Pejabat SPR. Buat apa nak simpan? soalnya.

"Ada benda yang tak adil, sebab itu kita minta supaya mereka adil tetapi mengapa mereka tak beri. Bila ditanya sudahkah mereka melihat perbuatan ini baik atau buruk, mereka jawab baik. Baik bagaimana kalau begitu?," tegas beliau ketika berucap sempena sambutan 50 Tahun PAS Cawangan Kampung Kodiang lama di sini, kelmarin.

Dalam ucapan ringkas itu, turut mengingatkan semua pemimpin agar terus kekal dengan prinsip keadilan yang digenggam erat oleh agama Islam.

Katanya, kerana ketidakadilanlah rakyat mempersoalkan peranan kerajaan sehingga tercetusnya ketidakpuasan hati dikalangan rakyat hari ini.

Malah ujarnya, kerana ketidakadilan itu jugalah gabungan masyarakat sivil telah melancarkan himpunan raksaksa pada 9 Julai ini yakni Bersih 2.0 bagi meluahkan ketidakpuasan hati mereka terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

Menurutnya lagi, keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 lalu jelas menunjukkan bahawa ketidaktelusan sistem pilihan raya di negara ini di mana beliau tewas tipis dengan majoriti 300 undi tetapi mendapat lebih 500 undi rosak di peti undi tertentu
.

Dr Haron Din yang bersaing Ismail Kassim yang juga merupakan adik bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau.

Justeru Haron mengutarakan hadis Nabi Muhammad S.A.W sebagai peringatan kepada pihak berkuasa yang pecah amanah dan menipu rakyat.

"Mana-mana pemerintah yang boleh menerima, membuat, memilih dan menolak undang-undang Islam mahupun barat. Muslim khasnya, kalau dia tipu rakyat, tak kesahla apa yang dibuat itu rasuah, tipu pilihan raya atau tipu senarai mengundi pilihan raya. Allah S.W.T akan haramkan mereka dari masuk syurga," kata beliau. -tvsnews


Ahad, 26 Jun 2011

Seminar Kepimpinan PAS Merbok


Peserta seminar menyanyikan lagu rasmi PAS

Perasmian oleh Timbalan YDP PAS Kawasan

Pembentang Pertama Ust Zainul Asri Romli

Sdr Aris Awang, Pembentang Kedua

antara Muslimat yang hadir termasuk yang membawa anak kecil


ada ujian bertulis lagi


Pembentangan santai oleh Ustaz Yusof Awang

Perasmian Penutup oleh Dato' YDP PAS Kawasan

Jumaat, 24 Jun 2011

“Negara Berkebajikan Pas Berbeza Dengan Kebajikan BN” – Dr Haron Din.

Temubual Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din oleh Mohd Sayuti Omar - Siri 2



Datuk, Perdana Menteri, Mohd Najib Razak telah menempelak Negara Berkebajikan yang Pas hendak dilaksanakan. Katanya Pas telah ciplak kebajikan yang dibuat oleh kerajaan BN. Apakah benar dakwaan Najib itu atau pun memang ada perbezaan di antara Negara Berkabjikan yang Pas hendak bangunkan dengan kebajikan yang didakwa telah dibuat oleh BN itu?

(Perlahan dan tegas) Amat amat jauh... bezanya. Apa yang kita nak buat sesuatu kita berterasakan al Quran sebagai dasar. Quran adalah kebaikan sejagat dan kebaikan mutlak. Tidak macam orang yang berpegang kepada rasional dia hanya ikut kepala dia saja. Dia bercakap mengikut hati...kita bila perkenalkan kebajikan kita ambil dari Quran...yang disebut Baldatuntayibah.... ada hujungnya itu, rabbugharafu ... negara yang berkebajikan di bawah Allah yang maha pengampun. Kalau berhenti, negara kebajikan saja,(baldatuntayibah) kita dapatlah yang Jepun dapat, Amerika dapat, Perancis dapat, di mana mereka hanya dapat dunia saja. Di mana betul mereka dapat baldatunyaibah tetapi tidak mendapatrabbugharafu, mereka kufur.

Jadi kita berjuang ini bukan untuk dunia ini saja, kita akan bawa sampai ke akhirat. Kalau maju pun yang Allah taala kutuk buat apa? Kita fokus kepada rabbugharafu, Tuhan yang maha mengampun. Bagaimana Tuhan nak mengampun kalau kita membina negara kita ke arah kemaksiatan...bermaharajala lela, nak ampun macam mana negara yang penuh dengan rasuah. Padahal di dalam hadith sahih, (sambil membaca hadith) bermaksud; yang bagi rasuah, yang menerima rasuah, yang menjadi perantaran melakukan rasuah, semuanya masuk neraka.

Jadi keliling kelalang orang tahu negara kita tenat dengan rasuah...kejujuran yang dikatakan dalam semua hal, misalnya pilihan raya orang tahu berlaku penipuan. Jadi ketidakjujuran di dalam memerintah, malah kroni dan sebagainya, bagaimana kita nak dapat rabbugharafu di dalam hal-hal seperti itu?

Bila kita balik, semua kepada apa yang Pas telah buat..di Kelantan untuk perbandingan.. adakah selama ini... Pas perintah Kelantan sejak 1990, adakah kes-kes immoral sama ada rasuah, kes skandal atau salah guna kuasa, berlaku? Saya tahu orang semua tahu boleh bandinglah dengan apa yang dibuat di Kelantan. Contoh apa disebut di dalam muktamar baru-baru ini, Tok Guru Mursyidul Am, (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dia tidak duduk rumah kerajaan dan duduk rumah sendiri... dia dapat elaun perumahan...dia tidak ambil. Dan saya berkawan dengan dia lama, dia tak sebut pada saya. Isteri MB mana-mana pun ada peruntukan make-up tetapi isterinya tidak ambil. Kita tahu isteri siapa yang paling mahal harga make-upnya.

Elaun keraian kenduri hari raya, dia buat dengan duit dia sendiri, kenduri kahwin anaknya dari duit dia sendiri. Dia tidak ambil dan dia bagi balik kepada rakyat. Saya cadangkan elok kalau interviu dia tanya kenapa dia tidak ambil semua wang itu? Maknanya kita (Pas) tidak rakus dan pemimpin kita tidak mengambil kesempatan.

Kalau itulah orangnya mengapa didedahkan dia dengan rasuah, sedangkan duit yang halal dia tak ambil. Itulah saya kata orang menilai ini semua sebab itu orang suka melabor di Kelantan.

Ini yang orang tidak tahu negara berkebajikan walaupun kita memerintah belum pegang Pusat. Kita pegang negeri saja, inilah benda yang kita sebutkan tadi, bahawa negara berkebajikan itu jauh beza dengan negara lain dan kita akan lakukan sesuatu yang orang tidak nampak itu kebaikan yang balik kepada rakyat. Jadi di sini jelas bezanya apa yang dakwan Najib dengan apa yang hendak Pas buat.

Bila dia berkata begitu, kita sedar untuk dijadikan umpan kepada rakyat, agar berpihak kepada dia. Tetapi yang saya sebutkan tadi bahawa kita ambil Islam sebagai asas perjuangan kita. Hidup kita ini bukan selesai setakat mati saja. Pemerintah adalah pemegang amanah. Ada Hadith sahih (sambil membaca hadith) bermaksud; “mana-mana pemimpin yang memerintah umat Islam dia mati dalam menipu rakyatnya, Allah haramkan dari masuk syurga.”

Menipu rakyat bukan menipu semua rakyat. Contohnya, Nabi kita sebelum dipanggil menghadap Allah, dalam keadaan keuzuran kerana nak ‘musafir’ jauh sempat panggil semua orang yang ada, dan menyebut, sesiapa yang aku aibkan di tengah ramai, datanglah kepada aku ambil hak dia balik dan aibkanlah aku. Dan dia sebutlah apa yang aku buat ini sebagai nak balas balik. Sesiapa yang telah aku pukul belakangnya, ini belakang aku, datanglah pukul balik, ambil balik hak kamu (qisas) balik aku tidak mahu berjumpa dengan Allah aku ada kezaliman yang aku tinggalkan kepada rakyatku.

Satu riwayat menyatakan seorang lelaki, tampil ke hadapan Rasululah s.a.w. berkata dulu Rasulullah tikam perut aku dengan tongkat dalam satu barisan tentera dan saya terasa sakit ketika itu...saya nak qisas, (balas). Sahabat merayu jangan dan dia kata dia nak balas juga. Rasulullah juga melarang jangan itu hak dia. Dia datang dan tongkat itu ada, dia kata tak adil dulu semasa tuan tikam aku baju aku terbuka, sekarang tuan pakai baju dia minta dibuka baju untuk menikamnya. Orang ramai dan sahabat merayu janganlah, tetapi dia kata tidak... aku nak balas juga. Nabi membuka perutnya... lelaki itu datang, bukan menikam tetapi mencampak tongkat ke bumi dan mencium perut Rasulullah sambil berkata, “saya telah memaafkan tuan sejak hari itu lagi sebab saya bersalah. Jadi hari ini adalah peluang saya untuk mengucup perut tuan.”

Jadi roh daripada hadith itu pemimpin Islam (Pas) ini dilatih dan diterbiyah dia takut melakukan kezaliman sampai ke situ sekali.

Umar al Khattab, dalam satu episod...semasa dia hendak tiba di saat akhir hayatnya, dia kata aku tidak bimbang aku bejumpa Allah tentang kezaliman aku kepada mausia kerana aku telah berbuat dan adil kepada kamu sehingga aku tidak adil kepada isteriku. Yang paling aku bimbang, takut ada seekor unta yang berjalan di Bhagdad (Iraq), tersliuh kakinya disebabkan berjalan di jalan yang aku tidak bina dengan baik. Aku bimbang unta itu komplen di depan Allah ia mati kerana kakinya terseliuh kerana berjalan di negeri yang Omar sebagai pemerintahnya.

Itulah negara berkebajikan yang dibanding dengan PM dakwa itu. Itu dia boleh buatlah, tapi adakah dia berani mengatakan yang dia buat Allah redha. Kalau redha apa jadi dengan dosa-dosa yang berlaku hari ini?

Khamis, 23 Jun 2011

POLIS PATUT PERMUDAH PROSES :DR ASRI

SHAH ALAM: 23 Jun: Adalah haram bagi mana-mana pihak, tidak kira peserta demonstrasi ataupun polis memulakan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya rusuhan, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Oleh itu, kata beliau, sesiapa yang mahu menyertai demonstrasi seperti Bersih 2.0 hendaklah berazam tidak akan mencetuskan kemusnahan harta awam, mencederakan sesiapa, dan memaki hamun.

Sebaliknya, kata Dr Asri, mereka harus melafazkan slogan tuntutan dan berhimpun bagi menggambarkan kehendak dan rasa tidak puas hati dengan cara yang aman.

“Pihak polis hendaklah sedar, selagi tuntutan itu baik untuk negara yang adil, polis juga termasuk dalam kalangan rakyat. Maka sepatutnya mereka memudah cara agar proses itu berjalan dengan pantas dan dilangsaikan dengan segera.

“Para peserta demonstrasi juga hendaklah sedar bahawa tugasan polis mengawal keamanan, maka hendaklah tidak dimulakan apa-apa provokasi yang menimbulkan kemarahan mereka selagi mereka bertugas dengan betul menurut peratusan keselamatan, katanya.

Dr Asri berkata, sesiapa yang memulakan atau menyertai provokasi yang membawa rusuhan maka dia menanggung dosa.
“Cita-cita rakyat itu tidak akan tertunai melainkan adanya kerjasama yang baik dari semua pihak. Polis, rakyat dan golongan atasan,” katanya.

Beliau berhujah demikian dalam kolumnya di portal Malaysiakini hari ini berhubung isu perhimpunan rakyat yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai depan.
“Setelah saya mendengar taklimat BERSIH dan menilainya, saya dapati tujuannya baik, menuntut hak yang sepatutnya diperolehi oleh rakyat seperti yang dijanjikan oleh
Perlembagaan.

“Jika ia berjaya, pada pandangan saya bukan untuk kemaslahatan parti tertentu sahaja, tetapi untuk keadilan berpolitik sepanjang masa, untuk semua pihak tanpa mengira parti. Maka, saya tidak mempertikaikan BERSIH di sudut tujuannya,’ kata Dr Asri lagi.

Bagaimanapun beliau bimbang jika ada parti tertentu yang cuba menzahirkan perhimpunan itu dalam sifat kepartian, bukan untuk rakyat secara umum, “sedangkan tuntutan itu untuk semua dan baik untuk memastikan keadilan dalam pengurusan pilihanraya”.

“Dalam konteks politik hari ini, demonstrasi aman sebahagian dari cara pencegahan mungkar politik yang telah terbukti keberkesanannya di banyak negara.
“Namun, oleh kerana demonstrasi itu terdedah kepada bahaya dan porak peranda, maka demonstrasi hendaklah menjadi pilihan akhir setelah tuntutan yang adil tidak ditunaikan.

“Perbincangan, rundingan, seruan secara langsung, bantahan bertulis dan sebagainya hendaklah di utamakan. Saya difahamkan hal-hal itu telah dilakukan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Asri berkata, SPR hendaklah menunaikan tuntutan yang adil itu bagi mengelakkan rakyat turun ke jalan yang mempunyai kemungkinan yang pelbagai.

“Jika pihak SPR enggan, menjadi hak rakyat untuk menuntutnya secara aman,” kata beliau.

Bagaimanapun beliau menegaskan memelihara keamanan adalah syarat utama keharusan mengadakan demonstrasi, “jika bertukar menjadi ganas maka ia sesuatu yang diharamkan oleh syarak”.

Beliau mengemukakan hujah bahawa demonstrasi jalanan ini pernah berlaku di zaman Rasulullah.

Katanya, Nabi Mohammad s.a.w. pernah mengajar sahabat yang disakiti jirannya membuat bantahan di jalan.

“Dalam hadis itu sahabat tersebut mengadu kepada Nabi: “Sesungguhnya jiranku menyakitiku”.

“Sabda Nabi: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”.

“Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”.

“Maka mereka berkata:“Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”.

Hadis berkenaan, kata Dr Asri, diriwayatkan oleh al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih.-tvs

Rabu, 22 Jun 2011

Jadikan Kelantan sebagai ‘makmal Islam’

KOTA BHARU, 22 Jun: Setelah lebih 21 tahun PAS mentadbir Kelantan, ia amat sesuai jika dijadikan sebagai sebuah ‘makmal Islam’, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ini, katanya kerana pentadbiran yang dilaksanakan adalah berasaskan Al-Quran, hadis, ijmak dan qias.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri himpunan penjawat awam Kompleks Kerajaan Darulnaim, pagi ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, Exco-exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias.

Nik Aziz berkata, kakitangan kerajaan negeri seharusnya mengikut sebaik mungkin dasar kerajaan yang dikeluarkan agar ia dapat memberi keselesaan kepada rakyat negeri ini.

“Tuan-tuan adalah merupakan kakitangan kepada kerajaan yang berasaskan Islam, oleh itu kita semua seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya kepada apa yang kita laksanakan di pejabat demi kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.

Tuan Guru juga menyentuh tentang kelebihan bulan Rejab yang boleh dikatakan semua umat Islam mengetahui peristiwa di akhirat melalui peristiwa Israk Mikraj.

“Bulan ini amat wajar umat Islam membicarakan hal kelebihan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj.

“Kita diberitahu dengan jelas perkembangan di akhirat, oleh itu kita semua seharusnya mengambil berat hal ini terutamanya dalam melaksanakan tugas yang diberikan kerana ia tetap mendapat balasan di akhirat nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias yang akan bersara wajib 26 Jun ini telah menyampaikan amanat akhir sebagai ketua pentadbiran negeri dengan menyampaikan nasihat agar semua kakitangan kerajaan negeri akur akan dasar yang diputuskan oleh kerajaan dan menjalankan dengan sebaik mungkin.

“Tuan-tuan, walaupun kita akan bertemu dengan hari persaraan kita sebagai kakitangan kerajaan namun ia tidak seharusnya terhenti di situ sahaja, malah tenaga kita masih lagi boleh disumbangkan kepada masyarakat dalam pelbagai aktiviti kebajikan,” kata beliau.

Beliau yang berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun akan digantikan oleh Dr Zainuddin Ibrahim yang akan menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baru.

Mohd Aiseri juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang selama ini telah membimbing beliau dalam mentadbir negeri secara kehendak Islam.

Selasa, 21 Jun 2011

“Negara Berkebajikan: Pas tidak melencung dari dasar”

Temubual Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din oleh Mohd Sayuti Omar

SIASAH: Secara umumnya macam mana Datuk melihat kepada barisan kepimpinan Pas yang baru dipilih dalam muktamar lalu. Semacam ada pemecahan tradisi di mana golongan ulama di kesampingkan?

DATUK Dr HARON DIN: Setiap kali berlakunya perubahan dalam herarki pimpinan parti maka setiap itulah ada struktur yang berbagai-bagai. Di antaran olahan terkini seolah-olah ahli-ahli Pas telah mengkesampingkan ulama. Mungkin dari segi bahasa itu bertepatan hasil pemilihan muktamar itu, daripada presiden dan timbalan presiden.. itu betul berlaku daripada bukan golongan ulama. Tetapi satu fakta yang perlu disebut bahawa faktor pecah undi itu jelas. Jika disatukan undi ulama itu menujukan majoriti masih menyokong ulama.

Sama juga dengan pertandingan naib presiden, juga pecah undi di kalangan calon ulama berdua itu berlaku. Tapi jika seorang saja calon, ulama.. masih menang. Tetapi apa pun ini boleh saya katakan faktor sementara. Setiap dua tahun sekali diadakan pemilihan. Bagi kali ini ada kewajaran kita melihatkan perkembangan politik yang telah sampai ke ambang pilihan raya ke-13.

Jadi dengan suasana politik semasa yang kita perlu undi tambah daripada undi bukan Islam, dan itulah yang menjadi satu perkara yang dirasakan boleh mengubahkan keadaan, maka dilihat itu perlu kepada barisan yang pada umumnya orang Islam boleh terima, tak ada masalah, orang bukan Islam boleh terima, berbanding kalau barisan ulama kesemuanya, kita tak ada masalah tetapi takut bukan muslim ada masalah. Sebab itu tawaran ini seperti disebut oleh Presiden kabinet pilihan raya.

Maka itu saya mengatakan soal menyisih ulama tidak berlaku, sebab di dalam Syura Ulama dipegang, dipimpin, didokong oleh 17 orang yang semuanya seratus peratus ulama. Mereka inilah yang menentukan hala tuju parti. Maka selama-lamanya tidak timbul menyampingkan ulama.

Jadi tanggapan mengatakan Pas telah meminggirkan golongan ulama dalam kepimpinan atau parti itu tidak benar?

Amat tidak betul kerana tidak ada usaha dalaman yang kita nampak, mencemuhkan atau mesej tidak mahu ulama yang dihantar. Tetapi kenapa berlaku seperti disebut tadi kerana faktor pecah undi, tidak berpakat, atau ikut nak jadi apa pun maka terjadi demikian. Tetapi kalau itu satu kebaikan kepada Pas, apa salahnya kita terima. Kalau tidak ada kebaikan, kita boleh rombak balik.

Dalam konteks ulama ini bila berlaku pecah undi, adakah Datuk melihat tidak ada konsensus atau syura di kalangan ulama?

Kita telah fikir sebelumnya, dan daripada awal berlaku, saya memantau. Walau ada pada mulanyatrend ke arah pertembungan antara ulama tetapi kita dengar dari awal ada usaha beberapa orang ulama yang dicalonkan telah menyatakan mereka hendak menarik diri. Terutamnya Datuk Seri Azizan Razak, terus tarik diri. Sama juga dengan Yang Berbahagia, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dia menyatakan dua kali akan menarik diri. Pada ketika itu semua orang melihat kalau berlaku pertandingan pun dua penjuru dan tidak sangat mengusarkan. Tetapi bila tiba saat akhir, tiga penjuru itu kita tidak sempat buat apa dan kita serahkan kepada takdir.

Datuk ada menyatakan baru-baru ini, pemilihan ini dalam konteks apa yang Datuk Sri Presiden menyatakan bahawa kepimpinan untuk pilihan raya. Datuk ada mengatakan kombinasi ini satu percubaan yang baik, apakah signifikennya?

Saya melihat daripada realiti politik orang ramai memilih keadaan begitu, ini pada saya merupakan pilihan yang diilhamkan oleh keadaan yang Allah menentukan demikian itu mesti ada kebaikannya. Saya melihat mesti adalah ‘maslahah’. Sebab ini yang dipanggilkan, kalau dalam Islam ia ada perkataan ‘ijmak’. Ijmak itu semua maufakatnya ulama. Nabi menyebut (membaca hadith): “umatku tidak akan beramai-ramai melakukan perkara yang sesat.”

Walaupun tidak tepat sangat dengan apa yang berlaku tetapi ada imbas-imbas, kalau sudah ramai sangat mengatakan itulah pilihan mereka maka saya menambah ada hikmahnya kenapa berlaku demikian.

Berbalik kepada ucapan dasar Datuk Sri Presiden yang mengangkat satu tema baru Membangun Negara Kebajikan, nampaknya tema itu telah menimbulkan kontroversi dengan mengaitkan Pas telah meninggalkan Islam, jadi bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Sinilah saya mengatakan apa yang berlaku pelik sedikit. Di mana orang yang sepatutnya merasa sensitif dan mudah sangat terasa ialah orang-orang yang telah mendokong perjuangan Pas ini sejak zaman berzaman. Saya sebagai seorang telah lama kekecimpung dan diamanahkan sebagai Timbalan Musydiul Am, sepanjang kita mengikuti ucapan dasar disampaikan, saya tenguk riak di bawah dan di atas, takut ada riak yang menunjukkan rasa tidak senang. Tetapi di sepanjang ucapan dasar itu disampaikan tidak ada pun mana-mana yang memberi reaksi yang tidak baik, semuanya memberi tumpuh sepenuhnya.

Kedua, bila ini tidak mengubah haluan, kita tenguk perbahasan pastilah orang pertama mengambil bahagian akan sebut yang itu, apakah ini maksudnya presiden hendak bawa Pas keluar dari landasan? Malahan kesemua yang bercakap baik dihari pertama dan hari akhir muktamar, dari semua golongan, tidak separuh suara pun yang membantah, malah menerima sebulat suara. Mana mungkin orang Pas boleh menerima sesuatu yang mereka tidak setuju, hatta dalam muktamar... saya sendiri pun bila ada orang menafsirkan apa yang saya buat tidak betul orang mengkritik saya dalam muktamar. Tok Guru presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pun dikritik dalam muktamar, Ustaz Nasha (Nasharudin Mat Isa) pun dikritik dalam muktamar.

Contoh dalam mukatamar dulu saya dikritik kerana saya menulis satu kertas kerja untuk dibentang dalam permukiman (retreat) Pas, dalam itu saya sebut; “hendaklah kita berhati-hati dengan musuh terutama musuh yang mungkin berada dalam Pas sendiri.” Jadi dengan bahasa begitu Datuk Husam Musa bangun minta penjelasan, apakah ada musuh di dalam Pas, sila tunjukkan kalau ada. Saya jawab dengan ayat Quran dengan mengatakan, (membaca ayat Quran); “sesungguhnya kata Allah antara pasangan hidup kamu dan anak-anak kamu musuh kepada kamu maka hati-hatilah menghadapi mereka.” Kalau Allah sebut demikian boleh, apakah saya nak ingatkan begitu tidak boleh. Setelah saya jawab demikian semua selesai.

Apa yang hendak dimaksudkan kalau berlaku perubahan itu, bukan perubahan dasar parti. Itu pandangan peribadi. Kalau ini merupakan perubahan dasar parti atau Pas telah keluar daripada garis perjuangan asalnya, mungkin bukan tunjuk perasaan berlaku di muktamar tetapi mungkin akan berlaku kekecuhan yang lebih besar.

Bila semua diterima dengan baik, kita orang dalam amat faham dan amat yakin Negara Berkebajikan tidak ada beza dengan negara Islam atau dengan apa yang hendak kita perjuangkan itu. Keduanya substand, iaini apa yang hendak diisi. Negara Islam memang berkebajikan. Malahan dilihat dalam Quran juga memang disebut negara berkebajikan ini, walaupun tidak disebut negara Islam tetapi isinya negara Islam. Bila tidak disebut bukan pula bermakna tidak boleh dibuat. Bila kita sebut Negara Berkebajikan selaras dengan Quran, kita sebut Negara Berkebajikan tidak ada perubahan dasar dan tidak ada sebarang penyelewengan dan kita puas hati dengan Negara Berkabjikan itu sesuai dalam konteks kita pada hari ini. Peliknya orang dalam tak ada masalah langsung, orang luar yang nampak bergelabah (ketawa).

Jadi tidak benar kalau Pas telah lari dari dasar Islamnya selamanya ini sebab tema itu sendiri menempati dasar parti?

Saya melihat begini, bila musuh politik sama macam kita juga, musuh kita Umno, dalam perjuangan politik kita senantiasa melihat di mana langkah musuh yang sumbang maka di situlah kita mengambil peluang untuk menghentamnya.

Selama ini mereka tiada peluang untuk mengatakan kepada Pas ini...pemimpin ke, perjuangan ke.. memang tidak ada isu besar. Lebih-lebih lagi dekat dengan pilihan raya, melainkan ini mereka tafsirkan sebagai salah langkah. Tetapi salah langkah apa, kami tahu apa yang kami tidak salah langkah. Sebab sebarang perubahan dasar dalam parti kita bukan semudah atau diselesaikan dengan ucapan dasar.

Sebagai contoh, dulu Pas tidak beri muslimat bertanding, bila Pas nak beri muslimat (zaman Khatijah Sidik) bertanding awal tahun 70-an Dewan Ulama bersidang kemudian dibawa dalam muktamar, baru diputuskan. Mislanya soal tahalul siayasi... tahaluls siyasi ini bukan menyentuh dasar tetapi soal strategi dan aktiviti tetapi dibawa ke syura, dibincang, bagi pandangan, buat kertas dan kertas diseminarkan pula.

Begitu juga apabila Pas hendak menerima bukan Islam sebagai ahli, ia dibincang secara menghalusi, sampai diterima atas nama kelab penyokong. Bila semakin ramai penyokong, bolehkah pula ditubuh dewan yang sama dengan taraf dengan dewan-dewan lain dalam Pas. Keputusan itu bukan diputuskan dalam satu muktamar tetapi di bawa ke dalam Majlis Syura. Syura bincangkan dulu. Jadi kalau itu kita buat, dan kalau perubahan dasar ini apakah logik kalau ia berlaku dengan hanya seorang saja yang mengemukakan dalam ucapannya.

Sebab itu perkara bini dibawa ke dalam syura dahulu barulah keluar isu Negara Berkebajikan di dalam muktamar dan selepas iu berlaku hentaman-hentaman dari para juhala-juhala ini (ketawa). Itulah prosesnya bukan sesenang dan semudah itu.

Tetapi diluar masih ada yang tidak faham dengan perjuangan Pas struktur Pas yang dikukuhkan oleh Majlis Syura Ulama dan sebagainya. Apakah Datuk rasakan Pas perlu mengadakan penerangan dalam hal ini?

Betul memang ada orang yang tidak faham. Dan dalam pepatah Arab bermaksud; “manusia ini dia bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu. Samalah dia tidak tahu mengenai negara Islam dia jadi musuh. Keduanya, tentang penjelasan dan keterangan lanjut memang perlu. Memang telah dan sedang dibuat dan akan diperhebatkan. Semasa mesyuarat pun kita buat... dan penjelasan akan dibuat beberapa peringkat akan turun ke akar umbi memberi kefahaman kepada orang kita dan kepada masyarakat seluruhnya.

Memang perlu kerana sesuatu yang belum pernah orang berjumpa dalam hidup kita ini, sebuah negara nama Islam atau berkebajikan, atau negara yang memerintah bersendi kepada hukum-hukum Islam kita tidak pernah berjumpa. Sebab itu bila kita hendak laksanakan ini orang yang tidak tahu akan jadi musuh lebih-lebih lagi musuh yang terasa ini suatu langkah yang amat baik, sesuai dengan masa, dan pandai lontar idea pada waktunya dan mungkin mereka rasa akan kecundang.

Kebimbangan itulah maka akhirnya ... menyebabkan mereka rasa sayang dan terkilan dengan negara Islam yang kononnya hendak kita tinggalkan. Kalau sayang sangat ambilah.. (ketawa). Maknanya sama seperti kata orang, musang tidak boleh ambil buah anggur itu kerana semut banyak atau buah masam... begitulah. Akhirnya ia merupakan satu fitnah, merupakan memburukkan musuh yang sepatutnya, cara itu tidak gentlemen. Kalau kita sudah mengatakan kita tak ubah dasar kenapa nak sibuknya, dia pula mengatakan kita ubah dasar. Dasar termaktub dalam perlembagaan

(msomelayu.blogspot.com)

Isnin, 20 Jun 2011

Kabinet Baru PAS Kedah Sesi 2011/2013

Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah yang bermesyuarat pada hari sabtu lalu telah meluluskan pelantikan baru bagi jawatan Timbalan Pesuruhjaya, Jawatakuasa Harian, Ahli Badan Perhubungan dan Pengerusi Lajnah - lajnah.

Jawatan

Pesuruhjaya - Dato'Seri. Us. Haji Azizan bin Abd Razak
Timbalan Pesuruhjaya (I) - Dato'. Ir. Haji Phahrolrazi bin Zawawi
Timbalan Pesuruhjaya (II) - Dr. Ismail bin Salleh
Timbalan Pesuruhjaya (III) - Us. Md Isa bin Shafie ( Bekas Adun Belantik )

Bendahari - Dato'. Ir. Haji Amiruddin bin Haji Hamzah

Setiausaha - Us. Musoddak bin Haji Ahmad
Penolong Setiausaha (I) - Us. Aizat bin Zakaria ( DPPNK )
Penolong Setiausaha (II) - Haji Ab Mutalib@Sobri bin Haji Awang
Penolong Setiausaha (III) - Kapten (B) Zamri bin Ibrahim

Pengarah Pilihanraya - Haji Muhamad Yusof bin Husin
Ketua Dewan Ulamak - Haji Sheikh Mohamad bin Abdullah
Ketua Dewan Pemuda - Us. Ahmad bin Yahya
Ketua Dewan Muslimat - Ustzh. Hajjah Siti Aishah binti Haji Ghazali
Ketua Penerangan - Haji Mohamad Sanusi bin Md Nor ( Setpol )

Ahli Badan Perhubungan yang dilantik
Us. Haji Abu Kasim bin Abdullah
Sheikh Ismail bin Kamis
Haji Che Had bin Dhali
Rosli bin Darus
Haji Mat Akhir bin Thalib
Fadzil bin Baharom
Dr. Rohani binti Abd Mutalib

Tahniah dan selamat bertugas kepada semua

Jumaat, 17 Jun 2011

Sandiwara Hishamuddin & Khairy untuk gagal Himpunan Bersih 2.0


KUALA LUMPUR: Perbalahan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berhubung perhimpunan sayap parti itu disifatkan sebagai sandiwara semata-mata.

Apa pun sebabnya, ia bertujuan untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

“Konon-kononnya nanti Pemuda Umno tidak akan diberikan permit. Jadi mereka (polis) akan kata tidak ada sebab untuk mengeluarkan permit kepada Bersih.

Mereka menggembar-gemburkan perkara ini bertujuan untuk menakutkan-nakutkan peserta dan rakyat yang akan menyertai Perhimpunan Bersih 9 Julai nanti.

Khairy dalam laporan media hari ini menegaskan akan tetap mengadakan perhimpunan Pemuda Umno, pada tarikh dan tempat yang sama dengan BERSIH 2.0

Katanya, Pergerakan Pemuda Umno tidak gentar dengan ancaman Hishamuddin yang memberi amaran supaya bersedia menerima padah jika meneruskan perhimpunan itu.

Beliau dilapor berkata, Hishamuddin yang juga bekas Ketua Pemuda Umno boleh memberi amaran tetapi sayap Umno itu akan tetap meneruskan rancangannya, walau apa pun berlaku.

Terdahulu, Hishamuddin yang juga Menteri Dalam Negeri hari ini memberi amaran mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai ini, termasuk Pemuda Umno akan berdepan akibat dan tindakan undang-undang.

Khamis, 16 Jun 2011

Murtad: Awat Perkasa Senyap


KUALA LUMPUR, 16 Jun: Perkasa yang dikatakan ingin mempertahankan hak orang Melayu Islam dalam semua aspek dan hak pribumi tetapi mengapa senyap daripada memperkatakan isu murtad.

Dewan Pemuda PAS Pusat melihat penyata rasmi yang dikeluarkan oleh Parlimen Malaysia jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang mengatakan Mahkamah Syariah telah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010 ketika menjawab soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) dengan sebanyak 135 orang yang diluluskan untuk keluar Islam tanpa dapat mendengar suara daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) walaupun presidennya juga adalah seorang ahli parlimen.

“Apakah pendirian Perkasa di dalam isu murtad sepertimana yang dilaporkan di dalam Dewan Rakyat pada 14 Jun lepas?

“Apa yang dilakukan oleh Datuk Ibrahim Ali setelah diperjelaskan oleh Datuk Seri Jamil Khir berkaitan statistik tersebut?” tanya Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad al-Hiss (gambar).

Pemuda PAS, katanya curiga pendekatan selama ini yang dimainkan oleh Perkasa jika isu murtad langsung tidak memberikan kesan sensitif terhadap perjuangannya yang wujud selama ini.

Baginya, hanya dengan keberanian di dalam akhbar sahaja, Perkasa sesuai menukar namanya kepada Perkasi.

“Bagi kami, perjuangan Perkasa hanya berkisar elemen politik kepartian semata-mata. Perkasa langsung tidak sensitif terhadap isu murtad yang melanda umat Islam kini,” katanya.

Menurutnya, Perkasa akan hanya sensitif terhadap isu politik yang menyentuh PAS, PKR dan DAP sahaja dan akan terus menjuarai isu politik untuk mempertahankan Umno Barisan Nasional (BN) sahaja.

Beliau menambah, jelas rakyat perlu menolak perjuangan Perkasa yang berteraskan politik semata-mata tanpa melihat bahawa isu murtad sebagai keutamaan daripada isu politik tanah air.

Dalam masa yang sama, ujarnya Perkasa dilihat takut menegur kerajaan di dalam isu aqidah dan kepentingan agama selama ini.

Rabu, 15 Jun 2011

Kelantan Sifar Murtad

Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom

Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu.

Er juga memohon penjelasan kerajaan mengenai cara-cara yang diambil bagi menangani kes-kes gejala murtad itu.

Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan.

Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira.

Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.

Mengikut data yang dibekalkan, jumlah tertinggi yang diluluskan adalah dari Sabah iaitu seramai 67 orang dan diikuti dari Negeri Sembilan dengan 33 orang.

Jumlah permohonan untuk meninggalkan Islam yang terbesar adalah di Sabah - 238, Negeri Sembilan - 172, Selangor - 99 dan Perak - 47.

Tiada permohonan murtad dicatatkan di Kelantan.

Dewan Rakyat Tolak Usul Bantah Bersih 2.0


Persidangan Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi mengecam tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk mengadakan perhimpunan pada 9 Julai depan, kononnya bagi menuntut reformasi dalam pelaksanaan pilihan raya di negara ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengambil ketetapan untuk menolak usul yang dibawa Datuk Seri Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru) mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) itu selepas berpuas hati bahawa usul itu tidak perlu disegerakan.

"Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia sudah mengambil langkah perlu sebagai persediaan untuk menangani perhimpunan Bersih itu dan akan sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan agar dapat dibanteras dan dipastikan tidak berlaku perkara yang tidak diingini yang boleh mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara," katanya.

Terdahulu, Zahrain yang mengemukakan usul itu sebaik sesi soal jawab selesai, meminta Dewan mengambil ketetapan untuk mengecam sekeras-kerasnya segala tindakan BERSIH, terutama menghasut rakyat agar merusuh di jalanan seperti mana yang berlaku di beberapa negara Asia Barat, termasuk Tunisia dan Mesir.

Beliau juga mahu persidangan mendesak BERSIH supaya membatalkan cadangan mengadakan demonstrasi baik di Kuala Lumpur, mahupun di mana-mana negeri demi keselamatan rakyat dan negara.

Zahrain berkata, tindakan BERSIH tidak mencerminkannya sebagai sebuah badan yang benar-benar memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan telus, sebaliknya bermotifkan politik kepartian.

"Kegiatan lampau BERSIH membuktikan kumpulan ini mempunyai agenda politik sempit dan berhasrat mengelirukan rakyat demi mencapai matlamat politik mereka," katanya.
Pada 2007, BERSIH yang menggunakan slogan "Gelombang Kuning", menganjurkan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara atas alasan sama.

Perhimpunan yang bermula di Dataran Merdeka itu bagaimanapun gagal mencapai sasaran mengumpul 100,000 peserta, apabila hanya beberapa ribu orang hadir.

Demonstrasi jalanan itu bagaimanapun menggugat ketenteraman awam selain menyebabkan kesesakan di lokasi utama di ibu negara.

Perhimpunan kedua BERSIH pada bulan depan antara lain untuk menuntut pembersihan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal dan akses media bebas dan adil. - BERNAMA

Selasa, 14 Jun 2011

Himpunan BERSIH 2.0: Tak Mungkin Ada Lawan Kita Yang Setuju


KUALA LUMPUR, 13 Jun: Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, 9 Julai ini.

Katanya, biarpun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.

"Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dalam sidang media di parlimen hari ini memberitahu pertubuhan itu akan melawan habis-habisan himpunan Bersih 2.0 itu.

Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai "mengacau", Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.

Ibrahim, yang juga ahli parlimen Pasir Mas, juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.

Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.

"Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengurusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman," katanya.

Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih pertama pada 2007 lalu, menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.

"Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi," katanya.

Wira BERSIH 2.0 Merbok

Wira BERSIH 2.0 Merbok
Sdr Mohd Zal - Ketua Pemuda Cawangan Pantai CIcar

Saksikanlah Sendiri